top of page
Search

Panduan Permohonan UPU Online 2026 & Laluan ke IPT

Updated: Feb 5



Panduan Permohonan UPU Online

MEMAHAMI PROSES PERMOHONAN DI UPU ONLINE


UPU Online adalah sebuah sistem yang diselenggarakan oleh Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA) di Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), dahulunya dikenali sebagai Unit Pusat Universiti (UPU) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. 


Sistem ini bertujuan untuk menyelaras proses kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Malaysia meliputi:

  • 20 Universiti Awam (UA);

  • 36 Politeknik Premier/ Konvensional/ METrO;

  • 106 Kolej Komuniti;

  • Kolej MARA; dan

  • Kolej Profesional MARA


KELAYAKAN & KATEGORI PEMOHON

  1. Kelayakan Pemohon (Lepasan SPM Setaraf)

Permohonan memasuki IPTA adalah terbuka kepada Warganegara Malaysia dan Penduduk Tetap yang mempunyai No.KP/ MyKad sahaja. Kategori pemohon yang layak memohon program di peringkat Asasi/ Sijil/ Diploma adalah pelajar lepasan SPM dan setaraf seperti di bawah.


KATEGORI SPM

  1. Pemohon yang menggunakan kelayakan SPM tahun semasa

  2. Pemohon yang menggunakan keputusan SPM bukan tahun semasa. (SPM untuk 2 tahun sebelumnya sahaja)


KATEGORI STPM/ SETARAF

  1. STPM Tahun Semasa

  2. MATRIKULASI/ASASI Tahun Semasa

  3. STAM Tahun Semasa

  4. KELAYAKAN SETARAF:

Diploma UA

Diploma Politeknik / Kolej Komuniti

DKM / DLKM

DVM

Diploma ILKA / IPTS / Luar Negara / Lain-Lain Diploma / Asasi Um (Saluran 1)

A-Level

IB

Pra-U Sekolah Sukan

STPM Bukan Tahun Semasa

Matrikulasi / Asasi Bukan Tahun Semasa

STAM Bukan Tahun Semasa

AUSMAT / SAM / CPU

Foundation IPTS


Bolehkah saya mohon UPU Online sedangkan saya belum mendapat keputusan SPM/STPM lagi?

Jawapan: Boleh.


Pelajar sememangnya digalakkan untuk memohon UPU Online lebih awal bagi memastikan anda faham bagaimana untuk menggunakan UPU Online. Pelajar boleh membuat pemilihan program pengajian yang diminati berdasarkan keputusan percubaan atau keputusan peperiksaan sekolah yang terkini.


Setelah memperoleh keputusan SPM/STPM nanti, pelajar boleh mengemaskini maklumat pilihan program pengajian semula supaya program yang dipilih memenuhi syarat am dan khas yang ditetapkan.


Elak sebarang masalah teknikal/ kesesakan dengan membuat permohonan UPU Online lebih awal.





FASA PERMOHONAN

Secara umumnya proses permohonan UPU Online terbahagi kepada empat (4) Fasa seperti berikut:


Fasa 1 biasanya untuk pelajar yang baru sahaja menyelesaikan SPM atau STPM/ Setaraf (Asasi/ Matrikulasi/ Diploma/ STAM/ DVM/ DKM/ A Level dll). Pada Fasa 1 semua program akan disenaraikan untuk permohonan (Program Bertemuduga dan Tanpa Temuduga). Pelajar lepasan SPM tahun semasa boleh membuat permohonan program berdasarkan keputusan Percubaan SPM atau mana-mana keputusan peperiksaan sekolah yang terkini sebagai panduan membuat pemilihan program.


Bagi pelajar yang berminat memohon program bertemuduga/ ujian, pastikan permohonan dibuat semasa Fasa 1 dan program-program tersebut diletakkan dalam senarai 1 hingga 4. Bagi program pengajian bertemuduga (bidang Pendidikan) letakkan pada Pilihan 1 hingga 2 sahaja.

Untuk Permohonan Fasa Kemaskini, program bertemuduga/ ujian ini tiada lagi dalam senarai program yang boleh dipilih.


Permohonan untuk Fasa 1 dibuka pada 29 Januari 2026 hingga 23 Mac 2026 dan berlangsung selama satu (1) bulan.


Fasa 2 (untuk Lepasan STPM/setaraf sahaja) akan berlangsung antara 13 April hingga 15 Mei 2026 bagi membuka peluang kedua untuk pelajar yang tidak berjaya memohon dalam Fasa 1 atau terlepas tarikh permohonan Fasa 1. Walau bagaimanapun, hanya program tanpa temuduga sahaja yang boleh dipohon/ dikemaskini.


Apakah perbezaan permohonan Fasa 1 dan Fasa 2 bagi pelajar Matrikulasi/ Asasi?

Pada Fasa 1, pemohon lepasan Matrikulasi/ Asasi akan mengisi maklumat peribadi dan pilihan program berdasarkan keputusan semester 1.

Pada Fasa 2, pemohon hanya boleh membuat pilihan program berdasarkan keputusan penuh peperiksaan dan bagi program bukan bertemuduga sahaja.



Fasa Kemaskini

Untuk lepasan SPM akan dibuka selepas Fasa 1 ditutup iaitu selepas hebahan keputusan SPM sebenar. Pada Fasa ini, senarai program yang dipohon oleh pelajar akan dikemaskini secara automatik berdasarkan keputusan sebenar SPM di mana program yang pelajar tidak memenuhi syarat kelayakan akan dikeluarkan daripada senarai Fasa 1/ Fasa 2. Pelajar perlu mengemaskini semula senarai permohonan program ini mengikut merit yang sesuai.


Untuk lepasan STPM Setaraf akan dibuka selepas Fasa 2 ditutup bagi calon membuat kemaskini program serta dokumen peringkat akhir.



Fasa Rayuan dibuka bagi pemohon yang gagal mendapat sebarang tawaran daripada UPU Online. BKPA akan membuka peluang untuk pemohon membuat rayuan iaitu dalam tempoh 10 hari daripada tarikh keputusan diumumkan.

Pemohon yang telah mendapat tawaran tetapi menolak tawaran atau pemohon yang ingin membuat pertukaran program yang ditawarkan adalah tidak dibenarkan untuk membuat rayuan.

Kriteria pemohon yang boleh membuat rayuan


Hanya calon daripada kriteria berikut sahaja dibenarkan membuat rayuan:

Pemohon yang tidak berjaya mendapat sebarang tawaran; atau Pemohon yang mendapat tawaran pengajian sijil




PROSES PERMOHONAN

  1. Pembelian Pin BSN (Nombor Unik ID UPU Online)

    Bagi tujuan pendaftaran akaun untuk permohonan di UPU Online, pemohon perlu membuat pembelian Pin BSN sama ada di kaunter BSN atau secara dalam talian / ATM (bagi yang memiliki akaun BSN).

  2. Memulakan Permohonan

    Layari portal rasmi UPU Online di https://upu.mohe.gov.my. Jika anda adalah pengguna baru, klik pada ‘Daftar Akaun Baru’.

  3. Selepas mendaftar akaun baru dan klik “Daftar”, tekan butang “Kembali”.

    Masukkan semula maklumat Kad Pengenalan, Kata Laluan dan Kategori Pemohon sama ada SPM atau STPM/Setaraf. Kllik “Log Masuk”.

  4. Dashboard UPUOnline

    Untuk memulakan permohonan, klik menu “Permohonan di sebelah kiri Dashboard. Masukkan semula maklumat Kad Pengenalan dan pilih Kategori Pemohon.

  5. Semak Syarat Kelayakan

    Pelajar perlu menyemak syarat kelayakan (Syarat Am, Syarat Khas dan Purata Merit) dengan teliti untuk program yang anda minat. Anda boleh merujuk kepada e-panduan di Portal UPU Onlne atau di Aplikasi UPUPocket.

  6. Pemilihan Program

    Pelajar diberi pilihan untuk memilih 12 program pengajian berdasarkan bidang yang anda minat. Walau bagaimanapun, pelajar hanya diwajibkan membuat 6 pilihan program sahaja. Pastikan anda memilih mengikut bidang keutamaan serta memenuhi syarat kelayakan dan merit yang diperlukan.

    Bagi Kategori pemohon lepasan SPM/ STPM (tahun semasa), selepas keputusan sebenar SPM/ STPM setaraf diumumkan, sistem secara automatik akan membuat padanan keputusan peperiksaan sebenar dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia/ Majlis Peperiksaan Malaysia/ KPM/ Pusat Asasi dan seterusnya menyenaraikan program-program yang layak sahaja. Pelajar seterusnya perlu mengemaskini semula senarai program pilihan mengikut kelayakan dan merit yang sesuai.

  7. Pengesahan

    Lengkapkan permohonan dan klik pada ‘Simpan’.

  8. Cetak Slip

    Setelah selesai, cetak slip permohonan sebagai bukti dan rekod permohonan telah dibuat.



LANGKAH-LANGKAH DALAM MEMBUAT PEMILIHAN PROGRAM DENGAN TEPAT

Jika merit pelajar lebih rendah daripada purata merit bidang yang ingin dipohon maka peluang untuk pelajar ditawarkan tempat bagi bidang tersebut adalah rendah memandangkan pelajar perlu bersaing dengan pemohon lain yang memperoleh merit lebih tinggi.


Sehubungan itu, buat pilihan program dengan bijak berdasarkan pencapaian dan kelayakan anda sendiri dan pilih program yang sesuai dengan Markah Merit anda sendiri supaya anda mempunyai peluang tinggi mendapat tawaran pengajian. Pilihlah program di mana markah merit anda sekurang- kurangnya setara atau lebih tinggi supaya pelajar berpeluang mendapat tawaran.

Semoga panduan ini membantu pelajar dan ibu bapa dalam membuat keputusan dan pilihan yang terbaik.


Memahami Merit

🔍 Beberapa anggaran purata markah merit

  • Sistem merit UPU adalah 90 % markah akademik + 10 % markah kokurikulum.

  • Sebagai contoh, bagi program seperti kejuruteraan di IPTA, markah merit yang diperlukan boleh berada antara ≈ 74.88% hingga 89.45% manakala bagi program seperti perakaunan, markah merit boleh berada antara ≈ 88.48% hingga 99.67%.

  • Baca lanjut untuk memahami bagaimana kiraan merit: UPUPocket dan Kaedah Pengiraan Merit.

 

✅ Implikasi

  • Jika anda berminat dengan program yang sangat kompetitif (contoh: perubatan, kejuruteraan, perakaunan), anda perlu mencapai markah merit jauh di atas merit asas (contoh: 90%+).

  • Jika markah merit anda 60–70% sahaja, maka memilih program yang kurang persaingan atau IPTA yang rankingnya sedikit rendah akan meningkatkan peluang untuk mendapat tawaran.

  • Markah merit hanyalah satu faktor. Calon juga perlu memenuhi syarat am & syarat khas program (contoh: subjek spesifik, temuduga atau ujian) serta membuat pilihan dengan bijak.


⚠️ Perkara yang perlu diingat & kekangan

  • Peratus merit yang dinyatakan adalah sebagai anggaran/panduan sahaja dan akan berubah setiap tahun. Untuk anggaran merit bagi setiap program ini, pelajar boleh merujuk pada maklumat program di panduan UPU Online atau atau Aplikasi UPU Pocket. Boleh juga rujuk anggaran merit di laman web berikut: https://www.uniassist.my/post/semakan-merit-upu-online

  • Persaingan berlaku daripada pelbagai aliran pemohon khususnya untuk lepasan STPM/ Setaraf (Matrikulasi/ Asasi/ STAM/ Diploma/ DVM/DKM/ IB dan lain-lain) dan bilangan pemohon yang sangat tinggi boleh menaikkan keperluan markah merit secara mendadak.

  • Jika pemohon memilih program terlalu kompetitif dengan bilangan pemohon yang ramai, walaupun markah merit anda sangat baik, peluang tetap boleh terhad.



Senario masalah & kekecewaan yang biasa dialami pemohon

Berikut ialah beberapa senario yang sering berlaku di kalangan pemohon UPUOnline, terutamanya yang mengalami kegagalan atau tidak mendapat pilihan yang dikehendaki — dan ramai berpunca daripada kurang pengetahuan atau perancangan yang lemah.

  1. Lewat atau terlepas tarikh penting Pemohon yang terlupa tarikh fasa permohonan atau kemaskini akan menghadapi pilihan yang lebih terhad. Ini khususnya bagi program-program yang memerlukan temuduga dan ujian seperti program bidang Pendidikan yang hanya dibuka pada Fasa 1.

  2. Pemilihan program kurang strategik atau terlalu “memilih”

    Pemohon kadang-kala memilih program yang sangat kompetitif (contoh: perubatan, kejuruteraan atau undang-undang) tanpa menyemak syarat khas dan merit yang diperlukan. Keputusan akademi (SPM/STPM/Setaraf) yang cemerlang semata-mata tidak menjamin anda mendapat tawaran kerana pengiraan merit juga mengambil kira markah ko-kurikulum selain lulus cemerlang temuduga dan ujian bagi sesetengah program khususnya yang kompetitif.


    Tip: Lakukan kajian: syarat khas program, bilangan tempat, persaingan merit tahun sebelumnya. Senaraikan pilihan program mengikut tahap “boleh capai”, “sedikit cabaran”, “amat sukar”. Ada yang gagal mendapat tawaran meskipun keputusan akademik kuat kerana pilihan terlalu kompetitif atau tempat terhad.


  3. Kurang perancangan pilihan dan terlalu fokus satu jenis laluan

    Ramai yang memilih hanya laluan “popular” khususnya di universiti awam seperti pengajian Asasi tanpa mempertimbangkan laluan alternatif (kolej komuniti, politeknik) yang mungkin lebih sesuai dan boleh memberi kelebihan.

    Sebagai contoh, pelajar lepasan SPM yang berminat dengan program kejuruteraan mempunyai beberapa laluan sama ada melalui Asasi (Sains Fizikal), Matrikulasi Kejuruteraan atau pun diploma. Malah jika kelayakan akademik calon agak rendah, boleh juga bermula dengan peringkat sijil. Jadi jangan hanya melihat satu opsyen sahaja semasa membuat pilihan program tetapi ambil kira juga opsyen lain yang ada. Yang penting adalah mendapat peluang mengikuti pengajian yang diminati.

    Tip: Buat “plan B” dan “plan C” — senaraikan pilihan yang kurang persaingan tetapi masih membuka laluan ke program pengajian yang sama khususnya di peringkat Sarjana Muda.


  4. Ketidakpastian selepas tawaran & rayuan

    Terdapat juga calon yang mendapat tawaran tetapi bukan program yang mereka sasarkan atau yang mereka minat. Sebab itu, semasa pilihan program di UPU Online, calon diberi peluang untuk membuat 12 pilihan program. Walau bagaimanapun calon hanya wajib mengisi 6 pilihan sahaja. Jadi janganlah isi atau pilih program yang tak diminati dalam 12 pilihan tersebut semata-mata untuk melengkapkan 12 pilihan. Pastikan kesemua 12 pilihan program ini adalah program yang calon boleh terima jika diberi tawaran. Ini kerana kalau calon diberikan tawaran katakan pilihan yang yang kesepuluh (bukan program yang calon minat) maka calon tidak berpeluang lagi untuk buat rayuan. Pilihan yang ada nanti sama ada untuk terima atau tolak tawaran sahaja. Jika tolak tawaran maka, calon tak berpeluang lagi untuk terima sebarang tawaran daripada UPU.



Kesimpulan

Statistik tahun 2025 menunjukkan bahawa banyak peluang terbuka melalui UPUOnline, tetapi persaingan tetap tinggi dan prosesnya memerlukan persediaan yang rapi. Kunci kejayaan bukan sahaja pada keputusan akademik, tetapi juga pemilihan program yang baik, pematuhan syarat, dan perancangan pilihan yang strategik.





...................................................................................


DAPATKAN INFO LANJUT DAN PANDUAN


Buku Panduan Permohonan UPU Online 2026 & Laluan ke IPT

Khusus buat lepasan SPM / STPM dan setaraf, Uni Assist telah menerbitkan 3 naskhah buku terbaharu untuk memudahkan para pelajar dan ibu bapa membuat perancangan laluan selepas SPM serta melancarkan proses permohonan di UPU Online. Semoga buku-buku ini dapat membantu dalam memudahkan perjalanan para pelajar ke Insitusi Pengajian Tinggi.


  1. Panduan Lengkap Pilihan Laluan Pengajian Selepas SPM

  2. Panduan Lengkap Permohonan UPU Online 2026 (Edisi Ke-3)

  3. Bidang Pengajian Institusi Pengajian Tinggi: Laluan & Prospek Kerjaya



Bagi pembaca yang memerlukan salinan format PDF (E-Book) secara PERCUMA, sila ke pautan berikut:



Panduan Permohonan UPU Online


 
 
 

Comments


bottom of page