top of page

Hebahan & Semakan Keputusan SPM 2023: Tindakan penting pelajar dan ibu bapa untuk halatuju seterusnya ke IPT.

Updated: May 27


semak keputusan SPM 2023

Seperti yang telah dimaklumkan oleh KPM, Semakan Keputusan SPM 2023 boleh dibuat pada jam 10.00 pagi pada 27 Mei 2024 (Isnin). Sememangnya ianya tarikh penuh debaran kepada semua pelajar yang telah menduduki SPM 2023 serta tidak kurang juga ibu bapa yang semestinya menunggu dengan penuh harapan. Apa pun keputusannya, TAHNIAH diucapkan kepada semua para pelajar kerana telah pun berusaha yang terbaik untuk menghadapi peperiksaan SPM 2023 ini.


Buat pelajar yang mencapai keputusan cemerlang, pastinya laluan pelajar agak mudah serta mempunyai pelbagai pilihan untuk pengajian tinggi berikutnya sama ada Asasi, Matrikulasi, STPM ataupun Diploma. Untuk yang kurang cemerlang, usah kecewa kerana kini terdapat pelbagai peluang untuk meneruskan pengajian sama ada berbentuk akademik mahupun bidang kemahiran yang pastinya juga menjanjikan prospek kerjaya yang baik pada masa akan datang.


KAEDAH SEMAKAN KEPUTUSAN SPM 2023

Calon sekolah boleh memperoleh keputusan peperiksaan SPM Tahun 2023 daripada sekolah masing-masing mulai pukul 10:00 pagi pada 27 Mei 2024 (Isnin). Bagi calon persendirian, keputusan peperiksaan akan dihantar melalui pos atau calon boleh menghubungi jabatan pendidikan negeri tempat calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan.


Calon sekolah dan calon persendirian juga boleh membuat semakan keputusan peperiksaan melalui kaedah berikut:

  1. i. secara dalam talian di pautan myresultspm.moe.gov.my untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan SPM Tahun 2023 mulai pukul 10:00 pagi pada 27 Mei 2024 sehingga pukul 6:00 petang pada 02 Jun 2024; dan/atau

  2. secara sistem pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan ringkasan keputusan peperiksaan SPM Tahun 2023 dengan menaip: SPM<jarak>NoKP<jarak>AngkaGiliran dan hantar ke 15888 Sistem ini akan diaktifkan mulai pukul 10:00 pagi pada 27 Mei 2024 sehingga pukul 6:00 petang pada 02 Jun 2024.



KEPERLUAN MEMENUHI SYARAT AM KE IPT AWAM

Sebagaimana semua sedia maklum, semua IPT Awam meletakkan Syarat Am bagi tujuan permohonan sama ada untuk kemasukan ke program peringkat Sijil/ Asasi/ Matrikulasi/ Diploma mahupun Sarjana Muda. Semua calon yang memohon sama ada dengan kelayakan SPM ataupun STPM setaraf perlu mencapai Gred minimum C (Kepujian) bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Gred minimum D (Lulus) bagi mata pelajaran Sejarah. Lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah juga merupakan syarat untuk melayakkan seseorang pelajar memperoleh Sijil SPM bermula tahun 2013.


Selain itu, kebanyakan program peringkat Asasi/ Matrikulasi dan Diploma di IPT Awam juga memerlukan pelajar mencapai Gred minimum C (Kepujian) bagi mata pelajaran Matematik.

=================================

Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU)

Sehubungan itu, mana-mana pelajar yang gagal mencapai gred minimum tersebut perlu menduduki semula Peperiksaan Ulangan yang dibuka khas bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik.



Pendaftaran bagi Peperiksaan ini akan dibuka oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) pada tarikh sama keputusan SPM diumumkan iaitu pada 27 Mei 2024 hingga 7 Jun 2024.


Calon boleh mula mendaftar di laman LPM berikut: https://sppat2.moe.gov.my/cp/spmu/epindex.asp



Selepas mendapat keputusan SPMU, pelajar boleh mendaptkan perkhidmatan “patching” atau penyatuan sijil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di LPM bagi menggabungkan keputusan terbaik beberapa peperiksaan dalam satu sijil.


Untuk info lanjut berkaitan SPMU, boleh baca di sini.


=====================================



PERMOHONAN KE IPT

Dalam tulisan saya sebelum ini, ada dinyatakan bahawa terdapat pelbagai cabang laluan ke IPT. UPU Online bukanlah satu-satunya laluan permohonan yang menentukan masa depan anda. Jika permohonan anda gagal di UPU Online, pelajar masih mempunyai peluang ke Universiti Awam melalui Saluran Terus atau pun boleh membuat sedikit "research" atau carian di IPTS yang juga banyak menawarkan program-program yang berkualiti dengan pelbagai tawaran khususnya tajaan yuran/ biasiswa atau pun tawaran prospek kerjaya selepas tamat pengajian. Yang penting "Pastikan program pengajian akademik ada Akreditasi MQA".


Dalam membuat pemilihan program, sebaiknya pelajar juga turut membuat semakan Penarafan IPT oleh KPT (klik di sini) yang merangkumi:

  • Sistem Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (SETARA) -mengukur jaminan kualiti dan standard universiti dan kolej universiti di Malaysia berdasarkan autonomi, kualiti dan prestasi institusi.; dan


  • Sistem Penilaian Kualiti dan Kesetaraan Kolej Swasta (MyQUEST) -menilai tahap kualiti Kolej Swasta di Malaysia



TINDAKAN PENTING SETERUSNYA UNTUK KE IPT


Lanjutan ke IPT Awam

UPU Online

  • Permohonan di UPU Online Kepada majoriti pelajar yang membuat permohonan untuk ke IPT Awam melalui UPU Online, Fasa 2 masih dibuka hingga 9 Jun dan akan diikuti seterusnya dengan Fasa Kemaskini. Oleh itu, selepas mendapat keputusan SPM pada 27 Mei nanti pelajar boleh melihat dan menyusun semula senarai program pilihan berdasarkan keputusan sebenar serta berdasarkan merit program. Pada Fasa Kemaskini nanti, senarai program ini perlu dimuktamadkan kerana sistem secara auto akan hanya memaparkan senarai program yang layak dipohon pelajar sahaja berdasarkan keputusan sebenar. Sukacita juga diingatkan supaya pilihlah program yang pelajar betul-betul minat serta memenuhi kelayakan SPM dan merit yang diperlukan. Program yang diminati ini perlu diletakkan di senarai susunan teratas dalam pilihan program. Jangan letak pilihan program semata-mata untuk memenuhi senarai pilihan program atau untuk mendapat tempat di IPT kerana jika pelajar ditawarkan program tersebut maka tidak lagi boleh membuat rayuan selepas itu.



  • Permohonan melalui Saluran Terus Selain permohonan melalui UPU, sebahagian universiti Awam juga kini membuka laluan kemasukan secara terus ke universiti berkenaan melalui saluran khas yang dikenali sebagai Saluran Terus/ Saluran Alternatif/ Ambilan Terus (Direct Intake) Saluran Terus yang ditawarkan oleh Universiti Awam ini bertujuan memberi alternatif lain khususnya kepada pelajar yang tidak mendapat program pilihan mereka berikutan persaingan sengit di UPU. Walau bagaimanapun, tempat yang diperuntukkan melalui Saluran Terus ini adalah sangat terhad khususnya bagi program-program popular tertakluk kepada mereka yang membuat permohonan dan memberi komitmen awal.




Peluang Pengajian di IPTS

Pilihan IPTS

Pada masa ini, terdapat pelbagai peluang serta bidang pengajian yang ditawarkan oleh IPTS.



Walau pun yuran pengajiannya agak tinggi berbanding IPT Awam, kebanyakan IPTS juga ada menawarkan peluang pembiayaan pengajian atau biasiswa dan pelajar juga boleh mendapatkan pembiayaan pendidikan PTPTN dengan kadar yang lebih tinggi berbanding IPT Awam.

IPTS ini juga ada yang dikategorikan sebagai milik Syarikat Berkaitan Kerajaan (Government Linked Universities) seperti Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Multimedia University (MMU).

Selain itu terdapat juga IPTS di bawah MARA seperti Universiti Poly-Tech Malaysia-UPTM yang turut menawarkan peluang penajaan daripada MARA.


Boleh juga lihat beberapa lagi IPTS yang menawarkan pelbagai pilihan program yang membuka peluang prospek kerjaya yang sangat baik sebagai pilihan pelajar. (baca di sini)



Laluan ke Bidang Kemahiran TVET

Selain laluan akademik, pelajar juga perlu memberi perhatian serius kepada laluan kemahiran khususnya "Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)".


TVET adalah proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri dan bertujuan menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-bidang yang tertentu. Program TVET ini adalah berdasarkan kepada standard pekerjaan yang diiktiraf, dengan penekanan kepada komponen praktikal dan pendedahan kepada latihan di industri.


TVET Malaysia

"Pada Mei 2024, kerajaan mengumumkan bahawa kadar kebolehpasaran graduan TVET kini mencapai 98.5% dengan baki 1.5% sedang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi."



Kadar kebolehpasaran ini adalah bukti keberkesanan program TVET dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi serta memberikan prospek kerjaya yang terbaik pada masa akan datang. Ini adalah kerana lulusan program TVET mampu menguasai pengetahuan dan kemahiran praktikal dengan lebih baik berbanding lulusan program akademik serta berpotensi untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan menarik minat majikan untuk menawarkan pekerjaan kepada lulusan TVET.


Agensi dan intitusi yang terlibat dengan TVET?

Kini lebih daripada 500 institusi TVET awam yang menawarkan pelbagai program TVET bagi semua peringkat pendidikan. Lepasan SPM berpeluang untuk melanjutkan pelajaran sama ada dalam bidang Sijil ataupun Diploma dalam program TVET yang berkemahiran tinggi. Selain itu, bagi pelajar yang kurang kecenderungan dalam akademik dan remaja di luar sistem pendidikan terdapat juga program khas Sijil dan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN). Boleh dapatkan info TVET di sini




PEMBIAYAAN PENDIDIKAN/ BIASISWA YANG DITAWARKAN TAHUN 2024

Tajaan dan biasiswa 2024

Pelajar dan ibu bapa boleh mendapatkan info berkaitan peluang pembiayaan pendidikan atau biasiswa oleh agensi kerajaan dan swasta untuk menampung pengajian di IPT. Boleh baca lanju di: https://www.uniassist.my/post/permohonan-biasiswa-scholarship-2024


Semak syarat kelayakan dan bidang pengajian bagi setiap tawaran tajaan biasiswa terkini.






RUMUSAN

Ingatlah "Apa yang anda pilih sekarang menentukan laluan masa depan anda". Pilih dengan bijak dan buat pilihan tepat. Bincang dengan ibu bapa, guru dan kaunselor pendidikan untuk tetapkan pilihan anda. Semoga berjaya semuanya dan selamat melangkah ke alam baharu selepas alam persekolahan.


Semoga info ini bermanfaat sebagai persediaan akhir pelajar ke IPT.


511 views

Comments


bottom of page